Alhamdulillah.Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihi Wasallam.Kita berada pada bulan Rabi'ul Awwal yang mana merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahualaihi Wasallam mengikut pendapat jumhur (majoriti) ulama.
Sebagai tanda cintanya kita kepada baginda, marilah sama-sama kita banyakkan berselawat ke atas nabi.
Lafaz yang paling baik adalah : Selawat Ibrahimiah atau yang kita baca ketika tahiyyat akhir.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Manakala lafaz yang paling ringkas ialah :
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1. Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3. Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya berselawat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.
Kelebihan Selawat:
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ»
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”
[HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Sabda Nabi SAW:
(الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ)
Maksudnya: “Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. Sahih].
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Rujukan :
http://www.abuanasmadani.com/selawat-ke-atas-nabi-saw-kelebihan-lafaz-yang-sahih/